Membina Ketenangan dan Keikhlasan
- Dr. Muhaya Muhamad - Utusan Malaysia
- Aug 26, 2016
- 4 min read
Cuba fikirkan, mengapakah semasa kita kanak-kanak fikiran kita tenang, tetapi apabila zaman kanak-kanak kita berakhir kita mula tidak tenang. Sehingga ahli psikologi sering mengatakan bahawa zaman remaja adalah zaman 'krisis identiti' atau remaja berkonflik. Lebih malang lagi apabila semakin dewasa, kita semakin tidak tenang – fikiran serabut dan emosi kusut.
Ketenangan akan datang kalau kita ada keyakinan yang kukuh kepada Allah SWTyang Maha Pencipta. Kalau berlaku kesulitan ke atas kita atas sebab perbuatan dan niat buruk orang terhadap kita, kita dapat menerimanya dengan tabah, sabar dan reda. Sebab kita yakin yang mencipta semua makhluk hanya Allah.
Maka kita yakin yang mengizinkan dia berkelakuan buruk kepada kita juga hanya Allah, hingga menyusahkan hidup kita dan membuatkan kita tidak tenang. Tetapi, kalau kita dapat terima setiap perkara buruk yang datang kepada kita adalah dengan kehendaknya, maka kita akan dapat menerimanya sebagai ujian Allah kepada kita.
Ujian Allah itu untuk mengukur dan menilai kesabaran dan keimanan kita. Analoginya kita tidak lulus ujian kerana bukan salah soalan tetapi salah jawapan. Sebalik kita lulus ujian sebab dapat memberikan jawapan yang betul dan berjaya mengulas soalan itu dengan baik, berkesan dan menguasainya.
Demikianlah hidup ini, setiap kesusahan yang kita hadapi itu yang penting bagaimana kita menguasai dan menangani situasi itu dengan fikiran dan emosi yang cerdas. Orang yang paling cerdas emosi ialah orang yang menentukan dalam jiwanya hanya ada kasih sayang tanpa syarat. Kalau kita beriman kepada Allah, Rasul, dan hari kiamat dalam jiwa kita tiada lain, hanya kasih sayang.
Kalau kita sayang kepada semua makhluk tidak akan ada orang yang kita kecilkan hatinya, sebaliknya kita membahagiakan semua orang. Fokus kepada perkara-perkara positif dan pada masa yang sama berjaga-jaga dengan ancaman. Ibarat nelayan dengan ombak, tidak boleh dipisahkan dan sudah biasa dilambung ombak, maknanya sudah biasa mengalami cabaran kehidupan untuk sekian lama.
Terimalah cabaran dan permasalahan hidup dengan tenang dan jangan panik. Jangan melawan arus biarkan arus itu menghanyutkan kita. Usah persoalkan keupayaan kita untuk teruskan kehidupan sebab kita sudah dilatih untuk bersedia seumur hidup menghadapi saat dilambung dan dihempas ombak.
Ingatlah semasa kita muncul di permukaan dilambung ombak dan dapat mencuri nafas, akan datang lagi ombak lain yang akan menghempas kita sekali lagi dan seterusnya. Sesungguhnya kelangsungan hidup bergantung pada bagaimana kita berkongsi kesakitan dan kegetiran menghadapi masalah dan melawannya.
Keikhlasan
Hal ini kerana kegagalan adalah satu cabaran hidup. Merancang supaya tidak pernah gagal adalah tindakan berani dan terbaik. Keyakinan timbul pada orang yang pernah gagal kerana pengalaman kegagalan sebelum ini mengajar hingga kita bersedia untuk menghadapi jangkaan, ramalan dan firasat. Persediaan, jangkaan, ketenangan, keupayaan cara kawal ketakutan. Fokus bertenang dan tidak melawan kuasa “ombak” kehidupan.
Seterusnya ketenangan akan datang kalau ada rasa keikhlasan pada hati sanubari kita. Sentiasa ikhlaskan hati untuk Allah dan bersangka baik kepada-Nya. Ingatlah bahawa, kalau Allah hendak menaikkan taraf kita, Allah akan beri kita ujian untuk mengukur ketakwaan kita.
Biasa kita temui orang yang ditimpa musibah tidak putus-putus, 'bagai jatuh ditimpa tangga', iaitu selepas lulus satu ujian, Allah uji lagi dengan ujian yang lebih berat. Jika calang-calang orang tidak terdaya untuk diteruskan kehidupan ini.
Untuk mencari ketenangan kena melihat kepada pencipta bukan melihat kepada apa yang sudah diciptakan kepada kita. Jom audit diri setiap masalah yang datang kepada kita adakah kerana kejahatan orang kepada kita atau sebaliknya kerana refleksi kejahatan kita kepada orang.
Sesungguhnya musibah itu tidak bahaya sebenarnya, yang bahaya adalah bagaimana kita mentadbir takdir musibah itu. Tadbir keputusan kita adalah cara kita menangani takdir “jawapan” kita kepada “sukatan pelajaran” (cabaran) yang ditetapkan Allah kepada kita. Tanya diri sendiri bagaimana ibadah kita dengan Yang Maha Pencipta dan bagaimana akhlak kita dengan makhluk Allah.
Keikhlasan tidak payah diucapkan kepada orang untuk mereka dengar dan untuk orang tahu, kerana akan hilang keikhlasan itu dan bimbang timbul riak atau ujub. Hakikatnya orang yang ikhlas tidak mengharapkan dihargai, dikagumi, difahami, disayangi dan diingati daripada orang lain.
Tetapi, sebaliknya kita hendak menghargai, menghormati, memahami dan membalas budi. Yang kita mahukan hanya hendak Allah sayang akan kita dan dinilai Allah dengan baik, kerana Allah Maha Membalas. Ingatlah bahawa keyakinan menghasilkan keikhlasan dan ketenangan.
Kita akan berasa tidak tenang jika berasakan kita kekurangan dan berasa banyak yang kita inginkan tidak berjaya kita miliki. Hakikatnya semakin banyak keinginan kita akan rasa lebih miskin dan lebih kekurangan apabila kita fokus kepada apa yang tidak ada dan apa yang kita tidak dapat.
Contohnya, walaupun gaji kita naik kita tetap berasa tidak cukup kalau keinginan kita meningkat. Jom audit diri marilah sama-sama kurangkan keinginan keduniaan, sebaliknya tingkat nilai diri bukan nilai barang kita.
Jangan sesekali melabelkan negatif kepada orang lain, nanti kebencian itu akan berbalik kepada kita dan kita akan hilang ketenangan. Sebab undang-undang tarikan berfungsi menukarkan niat, menjadi gelombang minda hati dan jiwa kita yang mempengaruhi tindakan kita. Setiap kali kita fikir, emosi kita menentukan getaran dan gelombang jiwa kita. Sebab itu apabila kita hendak ubah suasana kita ubah emosi.
Kenyataannya, siapakah yang hendak hidup tanpa ketenangan? Seterusnya apakah yang menghalang kita mendapat ketenangan? Yakinlah dan ikhlaslah kepada Allah. Contoh apabila kita terlibat dalam kemalangan, iaitu kereta kita kena langgar dari belakang.
Kalau kita tidak yakin kepada Allah kita akan marah orang, menyalahkan dan merungut. Sedangkan apa yang berlaku dengan izin Allah, kerana Allah telah sukat takdir kita. Yakinlah bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya, memang takdir kita Allah sudah tetapkan. Audit diri dan reset minda.
Kebahagiaan akan dapat kita rasa apabila kita buat sesuatu yang bermakna dengan penuh makna secara ikhlas. Fikiran kita mengawal siapa kita dan apa yang kita ada dalam hidup, cara kita berfikir dan percaya, serta bagaimana kita bertindak. Bagaimana kita bertindak adalah gambaran siapa kita sebenarnya dan apa yang kita capai?
Oleh itu adakah kita boleh menyalahkan orang lain atas keadaan kita sekarang. Kita yang memilih fikiran dan respons kita atas setiap yang berlaku. Jika kita sentiasa fikir hanya untuk mendapat dan tidak memberi kita tidak akan dapat kebahagiaan sampai bila-bila pun. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/membina-ketenangan-dan-keikhlasan-1.364243#sthash.czn5FL1L.dpuf
Comments